Friday, February 12, 2010

SATU MALAYSIA

Ke hadapan Yang Berhormat Perdana Menteri,
Malaysia merupakan sebuah negara yang sedang rancak membangun daripada segenap aspek seperti pembangunan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan sebagainya dalam proses untuk "berdiri sama tinggi, duduk sama rendah" dengan negara-negara yang telah maju. Namun begitu kerajaan juga perlu memberi fokus utama kepada perpaduan yang lebih erat dalam kalangan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa yang majoritinya ialah melayu, cina dan india. Lantas, kerajaan Malaysia perlu menjalankan pelbagai agenda untuk melahirkan perpaduan di kalangan bangsa Malaysia kerana bak kata pepatah melayu "bersatu kita teguh, bercerai kita roboh". Bukan itu sahaja, kombinasi kerajaan Malaysia juga telah mulai sedar peri pentingnya perpaduan dan hidup bersatu padu dalam sesebuah komuniti untuk mejadiakan Malaysia sebuah negara yang masyur di seantero dunia walaupun kecil di atas peta.
Perpaduan kaum memainkan peranan yang cukup penting dalam memajukan sesebuah negara. Tanpa perpaduan yang jitu dalam kalangan masyarakat terutamanya masyarakat majmuk, kemerdekaan sesebuah negara tidak akan mampu dikecapi apatah lagi untuk berdaya saing dengan negara-negara lain. Kita lihat sejarah kemerdekaan Malaysia sendiri bagaimana ketiga-tiga kaum majoriti iaitu cina melayu dan india telah bekerjasama dan bersatu padu dalam menentang penjajah barat. Tunku Abdul Rahman, Tun Dr. Ismail, Tun HS Lee, Tun Abdul Razak, Panglima Bukit Gantang, Abdul Aziz Othman, Dato' Mohd Seth dan Datu Nik Ahmad Khamil telah pergi ke London bersama-sama berjuang menuntut kemerdekaan negara.Hasilnya kita lihat bagaimana kekuatan perpaduan telah berjaya melepaskan kita daripada cengkaman penjajah pada 31 ogos 1957. Jadi kita renungkan kembali bagaimana jika pada hari ini perpaduan yang erat dalam kalangan masyarakat mampu kita jalinkan, adakah kita masih akan gagal untuk membentuk sebuah negara yang mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi. Ingatlah kata-kata ahli falsafah George Santayana "Those who cannot remember the past are condemned to repeat it" yang membawa maksud sesiapa yang melupai sejarah pasti akan mengulanginya. Generalisasinya perpaduan mampu untuk membawa Malaysia selangkah lebih maju untuk menjadi seperti negara-negara maju sedia ada seperti Russia, Amerika dan sebagainya.
Bukan itu sahaja, perpaduan kaum dan amalan hidup bersatu padu dalam kalangan masyarakat mampu untuk menjamin kemakmuran dan keamanan negara. Apabila kita mampu hidup bersatu padu dan hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa, agama, kepercayaan, pertuturan dan warna kulit, pelbagai masalah mampu kita atasi dengan mudah. Bukan itu sahaja, apabila nilai-nilai murni sebagai masyarakat timur mampu kita praktikkan, hubungan yang akrab mampu kita jalinkan, sikap tidak puas hati atau hasad dengki antara kaum boleh kita kikis sedikit demi sedikit seterusnya melahirkan sebuah negara Malaysia yang aman dan harmoni serta disegani oleh negara-negara lain.
Aspirasi gagasan 1 Malaysia yang telah direncanakan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-6, Dato Seri Najid bin Tun Abdul Razak merupakan satu alternatif yang begitu menarik untuk melahirkan sebuah negara yang aman dan harmoni. Kita lihat bagaimana nilai-nilai yang diterapkan kepada bangsa Malaysia melalui gagasan 1 Malaysia seperti kesetiaan, ketekunan, penerimaan, pendidikan, perpaduan, kemanusiaan, kebudayaan yang cemerlang dan meritokrasi sememangnya mampu untuk membuahkan perpaduan dalam kalangan komuniti Malaysia. Namun begitu kita perlulah bekerjasama dan berganding bahu dalam usaha untuk mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi 1 Malaysia.
Dalam menyokong aspirasi 1 malaysia serta mangekalkan keharmonian negara, kabinet kerajaan perlulah bersikap lebih adil dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak kerana hal ini akan menimbulkan 1001 kekecohan dalam kalangan masyarakat seterusnya mengganggu-gugat keharmonian dan keamanan negara yang sedia ada. Namun perlu diperingatkan hak-hak keistimewaan orang melayu tidak boleh dipertikaikan kerana ini telah termaktub dalam perlembagaan negara sejak dulu kala lagi. Selain itu, delegasi kerajaan juga boleh mengatur program-program untuk pelajar sekolah rendah mahupun sekolah menengah seperti ceramah akan kepentingan perpaduan dan sebagainya kerana "melentur buluh biar dari rebungnya". Bukan itu sahaja, kita juga boleh memperkenalkan budaya bangsa lain kepada bangsa lain seperti agama dan kepercayaan, adat resam, permainan tradisional, makanan dan sebagainya agar mereka lebih memahami antara satu sama lain kerana "tak kenal maka tak cinta". Di samping itu, dalam proses untuk mengekalkan keharmonian negara, penerapkan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar sejak dari bangku sekolah amatlah penting kerana nilai-nilai ini menjadi gaya hidup anak muda pada masa akan datang seperti menghormati bangsa dan agama bangsa lain.
Bukan itu sahaja, sekolah merupakan satu medium yang begitu effektif dalam melahirkan masyarakat yang mampu hidup dalam keadaan yang aman dan harmoni pada masa akan datang. Jika pada hari ini terdapat banyak sekolah yang menempatkan semua bangsa dalam satu sekolah mampu untuk memberi peluang kepada anak-anak generasi muda akan datang mengenali dan memahami antara satu sama lain sejak daripada awal lagi. Apabila mereka telah mengenal hati budi sesuatu bangsa maka mudahlah proses komunikasi antara mereka apabila mereka mencapai umur dewasa. Lantas, komunikasi dua hala yang berkesan ini akan memberi peluang kepada perpaduan untuk bercambah dan terus mekar kerana mereka telah terdidik daripada kecil lagi untuk berkomunikasi dengan orang lain tanpa mengira bangsa dengan sopan dan beretika. Tuntasnya, penubuhan sekolah yang memberi peluang pendidikan kepada semua bangsa Malasia dalam sebuah sekolah akan melahirkan perpaduan yang lebih erat bertepatan dengan aspirasi gagasan 1 Malaysia.
Kesimpulannya, perpaduaan yang erat dalam kalangan masyarakat amat penting untuk meningkatkan mutu negara daripada semua aspek termasuklah sukan, ekonomi, sosial mahupun politik. Selain itu, untuk mengekalkan keharmonian negara dalam menyokong aspirasi gagasan 1 Malaysia, kerjasama daripada semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama amat diperlukan kerana "bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi".



No comments: